|
 |
Apr 27, 2006
BERANIKAH TOK PA ROMBAK AUKU?
Oleh Mohd Sayuti Omar
Menteri Pengajian Tinggi, Mustapa Mohamed telah mengumumkan rancangannya untuk menyusun semula Institusi Pengajian Tinggi (IPT). Langkah itu diambil katanya dengan niat untuk menaikkan kembali mutu dan kedudukan universiti di negara ini.
Kenyataan atau alasan Mustapa itu, menggambarkan bahawa kedudukan IPT (Awam) di negara ini begitu teruk sekali, dan sekaligus beliau cuba mencerminkan pembawaan beliau ke kementerian yang sebelum ini dipegang oleh Shafie Salleh itu mampu untuk memulihkan kelemahan itu. Dalam kosakata lain beliau cuba menunjukkan bahawa beliau adalah arkitek baru dalam dunia pendidikan!
Mampukah Mustapa untuk berbuat demikian, dan apakah beliau mempunyai lampu ajaib untuk mengubah keadaan yang berlaku sekarang ini?
Seperti mana yang dilaporkan, di antara rancangan Mustapa ialah untuk meminda beberapa bahagian di dalam Akta Universiti dan Kolej Universiti (Auku 1971). Barangkali semua orang akan terkejut (tidak percaya?), di samping, tidak kurang juga yang suka mendengar kenyataan beliau itu.
Yang tentu gembira ialah budak-budak universiti yang selama ini terkongkong dan terkurung oleh akta berkenaan. Bukan puluhan, malah ribuan kali budak-budak universiti memprotes dan mendesak termasuk mengadakan tunjuk-tunjuk perasaan agar akta yang disifatkan zalim itu dibebaskan dari membelenggui mereka.
Tidak cukup itu, badan-badan politik oposisi dan NGO juga turut sama memprotes dan meminta akta yang memandulkan mahasiswa itu dihapuskan terus.
Sudah tentu apabila Mustapa berkata begitu ia melegakan dan memberi sedikit sinar kepada budak-budak universiti. Tetapi kepada pemerhati, kenyataan atau janji seperti itu sebenarnya sesuatu yang sudah basi dan 'belengah'. Selalunya begitulah bila naik seorang menteri pendidikan/pengajian tinggi baru, mereka akan memberi harapan baru dan mengulas apa juga topik yang menjadi perhatian umum, teristimewa sekali Auku kerana ia mendapat perhatian serius.
Sebenarnya, budak-budak universiti meletakkan harapan besar kepada Mustapa. Tentu sekali mereka tidak mahu kehadiran Mustapa itu hanya sebagai persalinan untuk mengubahkan badan menteri saja, sedangkan pemikiran dan pendekatannya sama. Dan kenyataan Mustapa itu adalah dikira pengucapan bernas sejak menjadi menteri itu.
Tanpa memihak kepada mana-mana - baik budak universiti atau kerajaan, seharusnya Auku dibebaskan atau dimansuhkan terus. Banyak baiknya akta itu dimansuhkan daripada terus dikekalkan. Walaupun niat dan falsafah penggubalannya kira-kira 35 tahun lalu bertujuan baik, namun dari segi praktikalnya ternyata ia memberi impak buruk kepada percambahan intelektual di universiti.
Betapa disebabkan wujudnya akta berkenaan, mahasiswa kita tidak mempunyai sengat dan keyakinan diri. Aktiviti di kampus yang sepatutnya melatih mereka untuk muncul menjadi pemimpin dinamik negara, telah dihalang oleh akta berkenaan. Sedar atau tidak, keadaan mahasiswa kita kini semakin lemah dan tidak mempunyai daya kreativiti serta semangat kepimpinan yang tinggi.
Tekanan yang dikenakan ke atas mereka menerusi akta itu juga menjadi mereka malas untuk melibatkan diri dalam bidang sosial dan pertubuhan. Keadaan ini telah merugikan negara yang di mana matlamat penubuhan universiti untuk melahirkan manusia berketerampilan di dalam kepimpinan tidak kesampaian.
Lebih teruk dari itu, disebabkan akta berkenaan juga, siswa kita bukan saja pengecut, merasa kurang keyakinan diri, tetapi menjadi pengampu buta huruf dan buta warna. Mereka ‘nggih’ kepada apa saja yang disuarakan oleh pihak kerajaan tanpa memahami apakah natijah daripada perbuatan mereka. Ada kalanya mereka terpaksa bersetuju di atas sesuatu yang mereka tidak bersetuju dan ini menjadikan mereka sakit jiwa.
Tindakan meragui dan mengawal mereka juga menjadikan mahasiswa kita tidak ubah seperti kanak-kanak di tadika. Hanya kalau pun membezakan mereka, mereka tidak diminta agar mengenakan pakaian seragam sepanjang berada di sekolah (kampus).
Kelesuan gerakan mahasiswa hari ini dalam membantu masyarakat juga sangat jelas sekali. Dan kesan daripada wujudnya akta itu juga menyebabkan negara ketandusan pemimpin pelapis yang lahir dari universiti. Hakikat ini nyata, sebelum akta itu dikuatkuasa, ramai siswa kita muncul menjadi pemimpin terkenal negara, baik dalam politik maupun perniagaan.
Boleh dikatakan semua pemimpin yang mencipta nama hari ini adalah graduan yang dikeluarkan oleh universiti sekitar tahun awal 70-an. Sebaliknya selepas dekad itu, tidak ramai siswa universiti yang muncul menjadi pemimpin politik yang memerlukan mereka yang berjiwa kental dan berani.
Jadi berdasarkan hakikat demikian adalah wajar kalau Mustapa di dalam rancangannya itu, terus menghapuskan akta berkenaan. Kerajaan seharusnya berani dan bersikap gentleman di dalam hal ini. Kerajaan tidak perlu takut kepada kebangkitan pelajar apa lagi dengan membayangkan mereka akan mengugat kerajaan.
Kalau kerajaan yang diterajui Abdullah Ahmad Badawi kini telus dan benar-benar ingin memenuhi aspirasi rakyat, tidak ada sebab untuk mahasiswa berarak ke jalan raya seperti tahun-tahun 1970-an. Mahasiswa adalah manusia rasional yang boleh menilai mana yang buruk dan mana yang baik. Kalau kerajaan bersih dan mengambil berat kepada kepentingan rakyat, mahasiswa akan menyokong dan tidak berlakulah pemberontakan!
Itulah harapan kita kepada Mustapa Mohamed. Tetapi apakah berlaku demikian? Beranikah Mustapa untuk melakukan setidak-tidaknya melonggarkan sedikit ikatan ke atas mahasiswa menerusi akta berkenaan? Itulah beberapa pertanyaan yang sebenarnya jawaban sudah ada kepada kita.
Daripada pengalaman, serta pemerhatian kepada daya tadbir, gaya kerja dan juga kredibiliti Mustapa di beberapa kementerian dan juga agensi kerajaan yang didudukinya sudah menjelaskan kepada umum siapa dia Mustapa sebenarnya dan apakah yang beliau lakukan ke atas kementerian itu, khasnya mahasiswa.
Secara peribadi saya tidak terfikir kalau Mustapa bersedia untuk melakukan perubahan dinamik ke atas Auku, sebaliknya apa yang saya nampak beliau akan menarikkan lagi ikatan (simpulan) ke atas mahasiswa dengan megemaskan akta berkenaan untuk benar-benar menjadikan mahasiswa sebagai sang kakak tua atau terkukur usang kepada kerajaan.
Sama-samalah kita tengok dan perhatikan apakah yang Mustapa dapat lakukan!
Posted at 05:09 pm by harapan-online
Permalink
Apr 24, 2006
Pilihanraya Negeri Sarawak 20 Mei
Dewan Undangan Negeri Sarawak dibubar hari ini bagi membolehkan pilihanraya negeri kesembilan diadakan dalam tempoh 60 hari.
Ketua Menteri Tan Sri Abdul Taib Mahmud yang juga Pengerusi Barisan Nasional Sarawak, telah menghadap Yang Dipertua Negeri Tun Abang Muhammad Salahuddin Abang Barieng semalam untuk mendapatkan persetujuannya bagi membubarkan DUN Sarawak. 
Taib membuat pengumuman tersebut dalam sidang akhbar khas di hangar Hornbill Skyways, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching jam 8.30 pagi tadi, sejurus sebelum berlepas untuk lawatan sehari ke Sibu.
Katanya, Speaker Dewan Undangan Negeri Sarawak Datuk Mohamad Asfia Awang Nassar telah diminta memaklumkan pembubaran itu kepada Suruhanjaya Piliharaya (SPR).
Sementara itu Pengerusi SPR Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman (kanan-bawah) dalam sidang akhbar berasingan di Kuching mengumumkan hari penamaan calon pada 9 Mei ini dan hari mengundi pada 20 Mei. Tempoh berkempen ialah selama 11 hari.
Abdul Rashid juga mengingatkan calon-calon yang mahu bertanding perlu mengemukakan deposit bertanding sebanyak RM5,000 dan deposit prnemapalan poster RM3,000. 
Beliau juga menyeru media memberikan laporan seimbang kepada semua parti yang bertanding.
Sidang terakhir DUN Sarawak berlangsung pada 20 April lalu. Mandat kerajaan negeri sekarang berakhir pada 18 November tahun ini.
Sebanyak 71 kerusi akan dipertandingkan dalam pilihanraya negeri kali ini, iaitu bertambah sembilan kerusi, berikutan persempadanan kawasan pilihanraya.
Kerusi-kerusi baru itu ialah Opar, Bukit Sentosa, Lingga, Balai Ringin, Bukit Saban, Daro, Bekenu, Pujut dan Batu Danau.
892,537 layak mengundi
Daftar pemilih yang diwartakan bulan lalu dan akan digunakan dalam pilihanraya negeri kali ini mempunyai seramai 892,537 pengundi.
BN Sarawak dianggataoi Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Parti Rakyat Sarawak (PRS) dan Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP).
PBB, yang diketuai Taib, diperuntukkan 35 kerusi, SUPP pimpinan Tan Sri Dr George Chan (19); PRS pimpinan Datuk Seri Dr James Masing (9) dan dan SPDP pimpinan Datuk William Mawan (8).
Menurut laporan Bernama, Dalam pilihanraya negeri tahun 2001, BN menang 61 kerusi dan kalah satu - Kidurong - kepada DAP.
Taib berkata BN akan meletakkan 20 peratus muka baru kali ini selain menambah calon wanita.
Kini terdapat tiga anggota DUN wanita terdiri Datuk Sharifah Mordiah Tuanku Fauzi (Samariang), Hajah Fatimah Abdullah (Dalat) dan Lily Yong Lee Lee (Padungan).
Taib berkata BN masih mengemas kini senarai calon-calonnya sebelum ianya dikemukakan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi yang juga Pengerusi BN.
Mengenai manifesto BN, katanya, beliau akan berbincang dengan Abdullah sebelum mengumumkannya.
(sumber: Malaysiakini.com)
Posted at 03:51 pm by harapan-online
Permalink
TUN GHAFAR BABA KEMBALI KE RAHMATULLAH
KUALA LUMPUR: Jenazah Tun Abdul Ghafar Baba selamat disemadikan di Makam Pahlawan, Masjid Negara di sini tepat jam 5.30 petang semalam dengan penuh istiadat pengebumian pembesar negara.
Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak turut bersama anggota keluarga dan ribuan rakyat menyempurnakan pengebumian jenazah bekas timbalan perdana menteri itu.
Upacara pengebumian yang bermula selepas solat Asar, berakhir pada 5.45 petang selepas bacaan talkin oleh Imam Besar Masjid Negara, Datuk Kamaruddin Zakaria dalam cuaca mendung yang diselubungi suasana sayu dan pilu.
Perdana Menteri mendahului upacara menyiram air mawar dan menabur bunga di pusara Allahyarham, diikuti Najib, isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor serta anggota keluarga Allahyarham yang diketuai anak keduanya, Tamrin.
Turut hadir ialah Menteri Pelajaran, Datuk Seri Hishammuddin Hussein; Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Mustapa Mohamed dan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil.
Presiden MCA, Datuk Seri Ong Ka Ting; Presiden MIC, Datuk Seri S Samy Vellu dan Presiden Gerakan, Datuk Seri Dr Lim Keng Yaik serta beberapa pemimpin pembangkang termasuk Ketua Pembangkang, Lim Kit Siang, turut hadir.
Allahyarham disemadikan di kawasan kubah Makam Pahlawan, bersama-sama Perdana Menteri kedua dan ketiga, Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein dan Tun Hussein Onn, serta Timbalan Perdana Menteri kedua, Allahyarham Tun Dr Ismail Abdul Rahman.
Sebelum itu, jenazah Tun Abdul Ghafar dibawa ke Masjid Negara pada jam 2.10 petang untuk upacara penghormatan terakhir dari kediamannya di Bukit Pantai, dengan disambut oleh Abdullah.
Keranda jenazah yang bersalut Jalur Gemilang dan diusung 10 anggota tentera serta polis ditempatkan di tengah dewan syarahan utama Masjid Negara untuk membolehkan kalangan pemimpin dan orang ramai memberi penghormatan terakhir.
Selain menteri Kabinet dan pemimpin politik, lebih 5,000 orang dari pelbagai lapisan masyarakat turut hadir menziarahi jenazah dan memberi penghormatan terakhir kepada Allahyarham.
Tun Abdul Ghafar, 81, menghembuskan nafas terakhir tepat jam 7.34 pagi semalam di sisi keluarga terdekatnya di Pusat Perubatan Gleaneagles Intan, di Jalan Ampang, di sini.
Allahyarham menjalani rawatan di pusat perubatan berkenaan selama 90 hari iaitu sejak dimasukkan ke wad pada 24 Januari lalu kerana serangan asma, masalah jantung dan komplikasi paru-paru.
Tahap kesihatan Allahyarham, seorang yang aktif selepas meletakkan jawatan Timbalan Perdana Menteri pada 1993, merosot sejak September tahun lalu apabila kerap keluar masuk hospital kerana masalah asma dan jantung.
Posted at 11:08 am by harapan-online
Permalink
Mar 28, 2006
AJK REVIU AUKU DIRAHSIAKAN
(sumber: Malaysia-Today)
Menteri Pengajian Tinggi yang baru, Datuk Mustapa Mohamad telah terlepas peluang dalam Parlimen untuk menyatakan komitmennya membawa pembaharuan dan perubahan di universiti bagi mencapai kecemerlangan dan melahirkan sumber manusia yang berkualiti dan menghentikan kesederhanaan yang hanya mampu mengeluarkan graduan menganggur.
Menafikan wujudnya krisis dalam pengajian tinggi hanya menimbulkan persoalan mengenai kemampuan Mustapa membawa pembaharuan dan perubahan di universiti-universiti awam.
Kenyataan Mustapa kepada wartawan amat mengecewakan dan malang, yang memberi amaran kepada pelajar-pelajar universiti bahawa jika mereka melanggar undang-undang, mereka akan didakwa dan mereka tidak boleh terlibat dalam mana-mana demonstrasi.
Jika seorang Menteri Pengajian Tinggi yang masih dalam kotak pemikiran lamanya mengenai peranan universiti dalam membangunkan bangsa - di mana pelajar dibenarkan menyatakan idealisme mengenai bagaimana memperbaiki dan mengubah masyarakat malah dunia sekalipun dan bukan hanya kilang mengeluarkan ijazah dan diploma - dengan itu, reviu AUKU yang dijanjikan hanya satu wayang dan tindakan yang tiada signifikan.
Mengapa individu-individu dalam jawatankuasa reviu AUKU - tugasnya memberi cadangan kepada kementerian bagi memperbaiki dan membuat pindaan kepada AUKU - tidak dimaklumkan. Mustapa hanya memberitahu bahawa mereka terdiri daripada pensyarah-pensyarah fakulti undang-undang daripada universiti awam seperti UM, UIA dan UiTM. Perkara tersebut dibangkitkan oleh Lim Kit Siang dalam kenyataan medianya di Parlimen.
Mustapa sepatutnya menukarkan jawatankuasa dalaman yang menyemak semula AUKU dalam keadaan penuh rahsia hanya untuk memuaskan tuan mereka, dengan jawatankuasa yang bebas dan berwibawa terdiri daripada warga yang disegani. Hal itu merupakan langkah pertama bagi mengembalikan kualiti dan kecemerlangan universiti, tegas Lim.
Dalam perkembangan lain, pengakuan oleh Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti Malaya (UM), Tan Sri Arshad Ayub dalam sepetang bersama Persatuan Kakitangan Akademik UM (PKAUM) pada Rabu lalu bahawa ada sesuatu yang sangat silap dengan keadaan universiti-universiti awam negara ini.
Tan Sri Arshad, telah menyarankan sebuah jawatankuasa bebas mengendalikan perlantikan 18 Naib-naib Canselor, 54 Timbalan Naib Canselor dan ahli-ahli dalam lembaga pengarah atau gabenor-gabenor kepada 18 universiti-universiti awam.
Tan Sri Arshad juga menyatakan penurunan dalam kualiti akademik boleh dipulihkan dengan pentadbiran yang telus, bertanggungjawab, tidak perkauman dan bebas daripada amalan rasuah. Beliau menyalahkan jatuhnya kualiti universiti kepada pentadbiran yang lemah yang terlibat dengan amalan diskriminasi dan layanan yang tidak adil.
"Adakah kita menyediakan persekitaran bekerja di mana kejujuran akademik paling utama dan kepada kepuasan profesional dan ganjaran? Atau kita hanya mewujudkan persekitaran berdasarkan amalan feudalistik yang hanya membawa kepada ketidakpuasan?" tanya beliau.
"Adakah kenaikan pangkat dan perlantikan berdasarkan merit? Adakah kita memastikan yang para akademik paling layak dipilih untuk kenaikan pangkat dan menerajui jabatan-jabatan, fakulti-fakulti dan institusi-institusi penyelidikan, tanpa mengira mereka daripada latarbelakang etnik apa? Atau menjejaskan moral dengan melantik ahli akademik atas faktor selain daripada merit?" soalnya lagi.
Lim mencabar Datuk Mustapa memulakan bab baru mengembalikan kecemerlangan UM dengan melantik Naib Canselor UM yang baru menggantikan Profesor Datuk Hashiam Yaacob, yang kontraknya akan tamat minggu hadapan.
Mustapa perlu memberikan mesej jelas mengenai komitmennya untuk membawa pembaharuan dan perubahan bagi mencapai kecemerlangan dan melahirkan sumber manusia berkualiti dan menghentikan tahap sederhaan yang hanya mampu melahirkan graduan yang menganggur.
Posted at 10:04 pm by harapan-online
Permalink
Mar 1, 2006
"...kerajaan memberi jaminan harga runcit barangan petroleum tidak akan dinaikkan lagi pada tahun ini." KUALA LUMPUR, 28 Mac - Harga runcit produk petroleum, termasuk diesel, naik lagi. Kali ini dinaikkan sebanyak 30 sen, yang tertinggi setakat ini berkuatkuasa mulai hari ini. Berikutan itu, harga petrol naik daripada RM1.62 kepada RM1.92 selitar bagi gred RON 97 naik 18.5 peratus dalam tempoh tujuh bulan. Harga Petrol RON 92 pula naik kepada 1.88 seliter.
Harga diesel juga naik 30 sen atau 23.4 peratus dari RM1.281 kepada RM1.581 selitar. Manakala harga gas petroleum cecais (LPG) turut dinaikkan 30 sen daripada RM1.45 kepada RM1.75 sekilogram."Kerajaan memutuskan untuk menaikkan harga runcit petrol dan diesel sebanyak 30 sen seliter serta harga runcit LPG sebanyak 30 sen sekilogram berkuatkuasa esok (Selasa)," kata kenyataan dari Pejabat Perdana Menteri semalam. Menurutnya, kenaikan tersebut adalah bertujuan untuk menangani kesan kenaikan harga minyak mentah di pasaran dunia serta membendung pertambahan subsidi yang perlu ditanggung. Bagaimanapun, kenyataan itu menegaskan, kerajaan memberi jaminan harga runcit barangan petroleum tidak akan dinaikkan lagi pada tahun ini. Bagi Sabah pula, Petrol RON 97 berharga RM1.90 seliter, Petrol RON 92 (RM1.88 seliter), Diesel (158.4 sen seliter) dan LPG (183 sen sekilogram). Harga baru di Sarawak Di Sarawak pula, Petrol RON 97 berharga RM1.91 seliter, Petrol RON 92 (1.88 seliter), Diesel (RM1.578 seliter) dan LPG (RM1.83 sekilogram). Semua harga baru itu mengalami kenaikan sebanyak 30 sen. Kali terakhir kerajaan menaikkan harga runcit barangan petroleum ialah pada 31 Julai 2005 di mana harga petrol naik 7 peratus atau 10 sen manakala harga diesel naik 23 peratus atau 20 sen manakala harga LPG naik 5 sen. Dalam tempoh kurang dari dua tahun, harga diesel telah naik sehingga 102.4 peratus manakala harga petrol pula naik sebanyak 40.1 peratus. "Harga runcit barangan petroleum ini dinaikkan kerana pada tahun 2005 jumlah subsidi yang ditanggung kerajaan berjumlah RM7.41 bilion. Manakala pengecualian cukai pula berjumlah RM7.85 bilion. "Beban tanggungan subsidi dan pengecualian cukai bagi tempoh Januari hingga Februari 2006 adalah sebanyak RM1.19 billion dan RM1.44 bilion masing-masing," kata kenyataan itu. Kenyataan itu juga berkata, tanpa subsidi dan pengecualian cukai oleh kerajaan, harga runcit produk-produk tersebut pada Mac 2006 sepatutnya lebih tinggi. Menurutnya, tanpa subsidi dan pengecualian cukai harga RON 97 di Semenanjung sepatutnya RM2.46 seliter, RON 92; RM2.37 seliter, Diesel; RM1.98 seliter dan LPG -- RM3.21 sekilogram. Bagi Sabah, petrol RON 97 tanpa subsidi dan pengecualian akan berharga RM2.45 seliter, RON 92; RM2.37 seliter, Diesel; RM1.97 seliter dan LPG; RM3.35 sekilogram. Di Sarawak, harga petrol tanpa subsidi dan pengecualian cukai, RON 97 sepatutnya berharga RM2.45 seliter, RON 92; RM2.36 seliter, Diesel; RM1.97 seliter dan LPG; RM3.34 sekilogram. "Walaupun kerajaan menaikkan harga barangan petrol, diesel dan LPG, didapati harga petrol dan diesel di Malaysia masih lagi murah berbanding dengan kebanyakan harga barangan tersebut di negara-negara Asean kecuali Brunei Darussalam," menurut kenyataan itu. Perbandingan harga Menurut laporan Bernama, kenyataan itu juga berkata harga barangan petroleum di beberapa negara Asean dan beberapa negara lain lebih tinggi berbanding harga produk petroleum Malaysia. Di Thailand harga petrol RON 97 berharga RM2.52 seliter, RON 92; RM2.45 seliter, Diesel; RM2.28 seliter dan LPG; RM1.65 sekilogram. Di Filipina petrol RON 97 berharga RM2.21 seliter, RON 92; RM2.20 seliter, Diesel RM1.95 seliter dan LPG; RM4.90 sekilogram. Di Singapura pula harga petrol RON 97 berharga RM4.15 seliter, RON92; RM3.89 seliter, Diesel; RM2.39 seliter dan LPG; RM5.32 sekilogram, manakala di Brunei harga petrol RON 97 berharga RM1.22 seliter, RON 92; RM1.19 seliter, Diesel; RM0.71 seliter dan LPG; RM1.40 sekilogram. Di Indonesia, harga petrol RON 97 berharga RM2.30 seliter, RON 92; RM2.20 seliter, Diesel; RM1.68 seliter dan LPG; RM1.89 sekilogram. Kenyataan itu juga berkata kerajaan turut memperkenalkan sistem pemberian diesel bersubsidi kepada 84 peratus kenderaan yang menggunakan diesel dalam sektor pengangkutan darat yang terdiri daripada pengusaha pengangkutan awam dan perkhidmatan barangan pengguna melalui penggunaan kad fleet. "Melalui penggunaan kad fleet ini, mereka boleh membeli diesel bersubsidi di stesen minyak dengan harga 15 sen lebih rendah dari harga yang ditetapkan. Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna telahpun mengeluarkan surat memaklumkan perkara ini kepada pengusaha-pengusaha yang layak," kata kenyataan itu. Pejabat Perdana Menteri juga berkata penjimatan kewangan yang dibuat melalui kenaikan harga barangan petroleum kali ini akan digunakan untuk membiayai projek-projek pembangunan dan mempertingkatkan sistem pengangkutan awam demi kepentingan rakyat keseluruhannya.  Sumber: Malaysiakini.com
Posted at 11:24 am by harapan-online
Permalink
Feb 25, 2006
PENILAIAN SEPARUH PENGGAL SRC: DIKOTOMI DALAMAN MENJADI BARAH

Lahir daripada sistem pilihanraya yang bobrok menyebabkan kabinet SRC kini dilanda masalah dalaman yang meruncing. Perpecahan yang berlaku di dalam SRC kini bukan lagi rahsia, sebaliknya ia telah terzahir kepada umum umpama retak yang menanti belah.
Imbas Kembali
Penguasaan Revo di dalam SRC berlaku apabila WUFI (We Unite for Islam) memboikot pilihanraya kampus (PRK) September 2005 lalu berikutan membantah pelaksanaan sistem pilihanraya yang tidak telus dan tidak demokratik.
Setelah mengecapi kemenangan tanpa mandat mahasiswa UIA, konflik dalaman mula timbul ketika penentuan siapa yang bakal menduduki kerusi empuk Presiden; sama ada Radziq atau pun Nazri. Hasil mesyuarat exco, Radziq mendapat undi majoriti, lalu dibai'ahkan menjadi Presiden dan Nazri hanya menduduki kerusi Vice President 3 (VP3) sedangkan ketika itu ada beberapa pihak tertinggi yang mahukan Nazri menjadi Presiden.
Mula mencari kuasa
Perpecahan mula menjadi serius apabila portfolio hal-ehwal Nasional di bawah Presidential Secretariat yang diketuai VP3 berubah menjadi National Unit. Bukti perpecahan?
- National Unit menerbitkan risalah sendiri yang berasingan daripada buletin rasmi SRC.
- National Unit menggunakan letterhead sendiri: "National Unit SRC", ketika penganjuran program Forum Cinta yang lepas. Tidak menggunakan letterhead rasmi SRC untuk tujuan surat-menyurat.
- National Unit dengan bangga menempelkan namanya di dalam poster promosi Forum Cinta daripada menggunakan nama SRC sahaja.
- National Unit mengeluarkan sijil perlantikan berasingan kepada AJK unit berkenaan yang ditandatangani sendiri oleh Pengerusi National Unit yang merangkap VP3 SRC.
-bersambung-
Posted at 07:26 pm by harapan-online
Permalink
Feb 24, 2006
Desas desus mengatakan Rektor UIA, Prof. Dr. Kamal Hasan akan bersara daripada perkhidmatannya semakin kuat.
Ini disokong lagi apabila Encik Abu Bakar Sidek, Pengarah Pusat Aktiviti Ko-Kurikulum menyatakan di dalam ucapan perasmian Close-Up SRC 14 Februari lalu bahawa rombakan kabinet Malaysia turut berlanjutan apabila UIA juga bakal mengalami perubahan kepimpinan.
Posted at 07:32 pm by harapan-online
Permalink
Feb 23, 2006
Mahallah Representative Committee (MRC) Bilal telah dipecat oleh pihak pentadbiran pada awal Februari lalu kerana dituduh tidak melakukan kerja dan pembangkang.
Amat malang sekali kerana nasib kesemua Exco yang dipecat tidak dipedulikan oleh SRC yang kini mengalami perpecahan dalaman. Malah, satu barisan exco baru yang tidak sah (dilanik, bukan dipilih oleh penduduk Mahallah Bilal) telah pun dilantik dan diketuai oleh saudara Yakqub.
Posted at 07:38 pm by harapan-online
Permalink
Feb 16, 2006
KENYATAAN RASMI SMM SEMPENA ROMBAKAN KABINET
KENYATAAN RASMI SOLIDARITI MAHASISWA MALAYSIA (SMM) BERHUBUNG PENGGUGURAN DATO’ SYAFIE B SALLEH SEBAGAI MENTERI KEMENTERIAN PENGAJIAN TINGGI MALAYSIA - 15 Februari 2006
Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM) mengalu-alukan tindakan Y.A.B Dato' Seri Abdullah Hj Ahmad Badawi yang telah menggugurkan Dato’ Syafie B Salleh sebagai menteri Kementerian Pengajian Tinggi ( KPT ) dalam rombakan kabinet terkini yang diumumkan beliau kelmarin.  Tindakan ini melambangkan pihak kerajaan sangat prihatin terhadap tuntutan dan desakan mahasiswa berhubung dengan isu pencabulan hak asasi Mahasiswa dan demokrasi kampus. Realiti ini merupakan satu titik kemenangan kecil bagi mahasiswa Malaysia. Namun, kemenangan ini bukannya kemenangan yang mutlak, kemenangan sebenar bagi pihak SMM ialah apabila demokrasi kampus dan hak asasi mahasiswa benar-benar terpelihara selari dengan makna dan halatuju sebenar kewujudan universiti. Sepanjang 2 tahun Dato' Syafie B. Salleh, mantan Menteri Pengajian Tinggi menjawat jawatan di kementerian, bermula semenjak 27 Mac 2004, beliau telah melakukan pelbagai kesilapan dan kezaliman khususnya terhadap Mahasiswa. Kesan tersebut bukan hanya dirasai oleh majoriti Mahasiswa, malah turut mengakibatkan kesan langsung ke atas sistem pendidikan negara. Kita dapat melihat bagaimana kedudukan Institusi Pengajian Tinggi Negara telah menunjukkan kemerosotan yang cukup teruk melalui senarai ranking yang dikeluarkan oleh Time Higher Education pada Oktober tahun lepas. Selain itu, kita juga dapat melihat bagaimana berlakunya campur tangan politik yang keterlaluan dalam proses perlantikan pentadbiran tertinggi universiti terutamanya perlantikan terhadap Naib cancelor dan Timbalan Naib Canlesor. Kezaliman beliau terhadap Mahasiswa tidak perlu dihitung lagi.  Pada tahun 2005 sahaja, seramai 18 orang Mahasiswa dihadapkan ke Tribunal Tatatertib Universiti dan perlaksanaan proses pemilihan Majlis Perwakilan Pelajar berada pada tahap yang cukup kotor sehinggakan majoriti Mahasiswa terpaksa mengambil tindakan untuk memboikot proses pemilihan tersebut. Pada tahun 2004 pula, iaitu “Tahun Gelap Hak Asasi Mahasiswa” seramai 48 orang mangsa mahasiswa turut dizalimi. Ada mahasiswa yang digantung pengajian hanya kerana mengeluarkan manefesto mahasiswa sempena PRU ke-11, difitnah dan lain-lain lagi. Justeru, tindakan menggugurkan beliau sebagai menteri merupakan suatu langkah yang sangat tepat dan seharusnya disokong oleh seluruh Mahasiswa memandangkan rekod kesalahan beliau banyak dan pemecatan beliau adalah sesuatu yang munasabah. Harapan Pemulihan Demokrasi KampusSMM juga meletakkan harapan yang cukup tinggi kepada Y.B Datuk Mustapa Mohamed, Menteri Pengajian Tinggi yang baru dilantik agar segera mengembalikan keyakinan Mahasiswa, ahli akademik dan seluruh masyarakat Malaysia terhadap KPT, sistem pengajian tinggi Negara dan Institusi Menara Gading itu sendiri. Kami bersedia membantu beliau dan kementeriannya demi mereputasikan semula universiti tempatan di persada dunia serta menonjolkan kembali kualiti dan potensi sebenar Mahasiswa di Malaysia amnya. Selain bersama-sama kerajaan menjayakan program dan matlamat Rancangan Malaysia ke-9 (RMK 9) terutamanya bagi mencapai matlamat untuk melahirkan modal insan berkualiti.  Namun, perlu diingat, selagi mana segala hak Mahasiswa tidak ditunaikan, keadilan tidak ditegakkan dan demokrasi kampus tidak dikembalikan, perjuangan ini tidak akan dihentikan. Setiap tangan-tangan kotor yang bertanggungjawab ke atas pencabulan demokrasi kampus dan kezaliman-kezaliman ke atas Mahasiswa wajib berundur atau diundurkan oleh kuasa Mahasiswa. TuntutanJusteru kami menuntut kepada Y.B Datuk Mustapa Mohamed supaya : 1. Menggugurkan segala dakwaan yang disabitkan ke atas Mahasiswa yang kini sedang dibicarakan di Mahkamah Universiti. 2. Mengembalikan semula demokrasi kampus melalui perlaksanaan sistem pilihanraya kampus yang telus dan adil serta kebebasan Mahasiswa dalam berpersatuan. 3. Memansuhkan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) dan digantikan dengan suatu akta baru dengan mengetepikan segala seksyen yang menzalimi pelajar. Kami diperingkat SMM,sentiasa berusaha untuk membina lembaran baru dengan mana-mana pihak yang ikhlas termasuk pihak KPT sendiri demi memastikan aspirasi Universiti terpelihara serta membuktikan kecintaan kami terhadap institusi ini. Kami sentiasa menghormati prinsip-prinsip demokrasi yang hak asasi pelbagai peringkat masyarakat.Oleh yang demikian suatu dialog dan perbincangan bersama SMM perlu diadakan supaya segala kehendak bersama dapat dipenuhi dengan baik. Kami juga berharap supaya beliau dapat memikul tanggungjawab ini dengan penuh jujur dan amanah serta mengetepikan segala kepentingan politik dalam sebarang keputusan yang bakal diambil. Sesungguhnya, kezaliman sesuatu yang tetap disanggah oleh mahasiswa. Disediakan oleh, AHMAD RIFAUDIN B ABD WAHABPengerusi, Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM)
Posted at 12:41 am by harapan-online
Permalink
Feb 14, 2006
BERITA BERGAMBAR PERARAKAN SEJUTA UMAT MEMBANTAH KARIKATUR HINA NABI
Posted at 12:22 am by harapan-online
Permalink
|
|
|